Sunday, 13 November 2016

SISTEM PEMIKIRAN MANUSIA



SISTEM PEMIKIRAN MANUSIA

Pemikiran adalah hasilan minda yang merupakan satu pemberian dan nikmat Allah kepada manusia. Pemikiranlah dikatakan antara aspek yang membeza manusia dengan kehidupan lain di dunia. Malah keupayaan  pemikiran juga telah menjadikan kita sesama manusia berlainan. Menurut Mohd. Yusof (1994),  pemikiran asas manusia boleh dikategorikan kepada empat atau dikenali sebagai 4L iaitu luhur, lahir, logik dan lateral.

Pemikiran luhur merupakan pemikiran yang tinggi tahapnya dan dikaitkan dengan minda yang membicarakan tentang ketuhanan. Luhur adalah pemikiran yang dianggap sebagai suci berdasarkan kepada aspek
ketauhidan (hal-hal ketuhanan), keimanan dan ketakwaan. Pemikiran luhur jika dibina dengan teguh pastinya mempengaruhi pemikiranpemikiran lain ke arah kebaikan. Sementara itu pemikiran lahir pula merujuk kepada keupayaan berfikir manusia ketika di peringkat Rahim hinggalah ke enam tahun. Pemikiran lahir jelas menunjukkan bahawa manusia telah dan boleh berfikir sejak awal lagi. Pemikiran di peringkat inilah dikatakan seterusnya mempengaruhi pemikiran seseorang apabila meningkat kanak-kanak, remaja dan dewasa.

Di samping keupayaan manusia berfikir tentang ilmu-ilmu ketuhanan, Allah juga menganugerahkan manusia dengan dua lagi ilmu pemikiran untuk manusia hidup di dunia. Pemikiran logik merujuk kepada satu bentuk pemikiran yang membolehkan manusia mempelajari, memahami dan menjelaskan ilmu-ilmu sains dan matematik. Pemikiran logik ini merupakan pemikiran yang didasari di bahagian otak sebelah kiri MEL ZAABA
manusia. Logik memerlukan manusia untuk menyatakan bukti, hujah, fakta, alasan dan kebenaran. Manakala bagi pemikiran lateral pula ia mampu menghasilkan minda yang bersifat kreatif, inovatif, imaginasi, rekaan dan khayalan. Pemikiran ini yang didasari oleh otak sebelah kanan membolehkan manusia untuk melihat atau menilai sesuatu perkara secara subjektif berbanding dengan pemikiran logik bersifat objektif.
Berdasarkan kupasan di atas maka ia menjelaskan kepada kita bagaimana sistem pemikiran kita berfungsi. Oleh itu, tiga bentuk pemikiran yang bakal kita bincangkan dengan lebih lanjut merupakan pemikiran yang
dikategorikan dalam pemikiran logik dan lateral. Walau bagaimanapun, sebagai seorang insan, setiap  pemikiran logik mahupun lateral perlu ditunjangi oleh pemikiran luhur. Kedua-dua pemikiran tersebut tidak
bersifat sendirian tetapi bergantungan dengan pemikiran luhur. Apabila pemikiran luhur itu diabaikan atau lemah, maka inilah yang menyebabkan idea atau pemikiran kita menghasilkan keburukan dan bencana kepada
masyarakat.

Sebagai contoh, keupayaan pemikiran manusia mencipta media massa umpamanya adalah satu kehebatan yang dikurniakan oleh Tuhan kepada kita. Tetapi apabila pemikiran lateral yang digunakan tidak lagi
bertunjangkan pemikiran luhur, kita menjadi terlalu kreatif menghasilkan pelbagai filem yang melalaikan dan mencemarkan masyarakat. Orang politik dikurniakan pemikiran logik yang hebat oleh Tuhan namun apabila tidak bersandarkan pemikiran luhur maka cakapnya saja yang petah tetapi tindakannya kosong. Begitulah halnya dalam masyarakat kita hari ini, pelbagai idea dan produk yang menjejaskan masyarakat
dihasilkan. Kesemua ini berlaku akibat kelogikan dan kelateralan pemikiran manusia sudah tidak lagi bertunjangkan kepada pemikiran luhur. Dalam erti kata lain tindakan kita adalah hasil pemikiran lateral.
Sekiranya setiap pemikiran lateral dan tindakan kita tidak ditunjangi pemikiran luhur maka hasilnya adalah idea, produk atau tingkah laku yang bertentangan dengan ajaran agama.

Saturday, 8 October 2016

SEJARAH KOMUNIKASI



1.1              Pengenalan
Komunikasi secara umumnya telah wujud bersama dengan penciptaan manusia oleh Tuhan. Sejak beribu-ribu tahun dahulu manusia sudah mengamalkan prinsip-prinsip komunikasi dalam pelbagai konteks penggunaan untuk tujuan utama iaitu berinteraksi dan bertukar maklumat. Jika kita imbas kembali dalam sejarah awal tamadun Islam, ayat-ayat al-Quran disebarkan melalui komunikasi lisan secara bersemuka. Kemudiannya ditulis di atas kulit kayu dan kulit binatang bagi menjaga ayat-ayat tersebut daripada hilang, di samping boleh digunakan oleh generasi seterusnya tanpa ada sebarang tokok tambahan walaupun masa dan tamadun manusia berubah. Kini inovasi teknologi maklumat dan komunikasi telah memudahkan kita mendokumentasi dan mengakses ayat- yat suci al-Quran tadi dalam bentuk yang lebih canggih seperti dalam media VCD, DVD malah boleh digabungjalinkan dengan audio-visual.

Senario ringkas yang dipaparkan, jelas menunjukkan bahawa pendekatan dan aplikasi komunikasi berubah seiring dengan kemajuan serta persekitaran masyarakat. Namun begitu, perkembangan komunikasi sebagai satu bidang ilmu pengajian hanya mendapat perhatian sarjana pada awal abad ke-20. Walaupun komunikasi merupakan satu bidang pengajian yang baru berbanding bidang-bidang sains sosial yang lain,  bidang komunikasi amat pesat berkembang berdasarkan pengembangan ilmunya melalui kajian-kajian intelektual yang dijalankan oleh para cendekiawan yang terlibat. Dalam bab ini, kita akan mendalami sejarah komunikasi mengikut tahap tahap perkembangan dan melihat kedudukan bidang komunikasi sebagai satu bidang sains sosial. Perbincangan juga akan ditumpukan kepada pembangunan bidang komunikasi di peringkat antarabangsa dan di Malaysia.








1.2 KOMUNIKASI SEBAGAI SATU BIDANG SAINS SOSIAL
Pengasasan bidang komunikasi banyak berdasarkan kepada bidangbidang sains sosial yang lebih dahulu wujud seperti psikologi, sosiologi, antropologi, sains politik dan ekonomi. Bidang-bidang ini mempunyai banyak pengaruh terhadap bidang komunikasi kerana kebanyakan penyelidikan awal komunikasi sebenarnya dipelopori oleh mereka yang berada di bawah bidang-bidang tersebut. Antaranya ialah Harold Lasswell yang membina Model Komunikasi Lasswell atau lebih terkenal dengan Teori Peluru Ajaib adalah merupakan ahli sains politik, Paul Lazarsfeld yang mengembangkan Model Pengaliran Maklumat Dua Peringkat pula merupakan pakar sosiologi dan Karl Hovland yang banyak mengkaji perubahan sikap adalah merupakan penyelidik dalam bidang psikologi.
Selain itu, teori-teori utama bidang sains sosial juga banyak menyumbang kepada kerangka ilmu komunikasi. Antara contohnya ialah Teori Evolusi Darwin yang dilihat sebagai pencetus idea dan penelitian terhadap komunikasi bukan lisan, Teori Psikoanalitik oleh Freud yang menyumbang kepada kerangka pengajian ilmu pemujukan yang dibina oleh Carl Hovland, dan juga Teori Kritikal oleh Karl Marx yang  mempengaruhi bidang kajian kesan media dan politik-ekonomi dalam konteks komunikasi. Perkembangan pesat teknologi dan komunikasi turut merangsang perkembangan media yang mula memainkan peranan penting dalam kehidupan manusia. Berbagai-bagai ciptaan terbaru daripada telegraf, radio, televisyen, telefon, satelit sehinggalah kepada ciptaan peralatan komputer mula wujud. Bertitik tolak daripada penggunaan pelbagai jenis teknologi media dalam penyebaran maklumat telah mencetuskan minat
para penyelidik untuk menjalankan kajian-kajian berkaitan, seperti kesan penggunaan teknologi media terhadap manusia secara individu atau berkumpulan, sama ada kepada kanak-kanak atau orang dewasa.
Perkembangan politik dan ekonomi semasa juga turut menarik perhatian para pengkaji untuk menumpukan kajian kepada topik-topik berkaitan penyebaran propaganda, pendapat publik dan periklanan.  Walaupun banyak kajian berkaitan dengan komunikasi yang dilakukan oleh penyelidik-penyelidik daripada pelbagai bidang sains sosial yang lain ebelum Perang Dunia Kedua lagi, namun hanya selepas Perang Dunia Kedua, bidang komunikasi diiktiraf sebagai bidang sains sosial yang sah yang seterusnya menjadi bidang pengajian yang penting (Saodah Wok et al., 2004). Kita akan berbincang mengenai komunikasi dan sains sosial ini dengan lebih lanjut lagi dalam sub topik yang seterusnya.

1.3  PERKEMBANGAN DAN PEMBANGUNAN BIDANG KOMUNIKASI

Jika kita membaca buku-buku berkaitan dengan komunikasi, kita akan dapati terdapat pelbagai cara  penerangan yang digunakan oleh para penulis dan para ilmuwan menerangkan mengenai sejarah dan pembangunan bidang komunikasi. Namun, secara umumnya mereka semua mengasaskan sejarah perkembangan dan pembangunan bidang komunikasi ini kepada negara barat dengan tumpuan khusus kepada Amerika Syarikat dan Eropah. Bagi memudahkan kita memahami peringkat-peringkat perkembangan dan pembangunan tersebut, kita asaskan perbincangan bahagian ini kepada penerangan yang diberikan oleh Griffin (1997) yang membahagikan zaman perkembangan komunikasi di barat kepada tujuh era yang akan dibincangkan seterusnya (Saodah Wok et al., 2004).
1.3.1 Era Awal (1900 - 1930)
Era awal pembangunan bidang komunikasi dikenali sebagai era kebangkitan retorik. Ia merupakan lanjutan daripada percambahan ideaidea ahli-ahli falsafah pada zaman Greek kuno. Pada zaman Greek kuno, ahli-ahli  falsafah seperti Aristotle dan Isocrates melihat retorik sebagai
satu aspek penting dalam kehidupan awam. Aristotle mengajar masyarakat bagaimana untuk menganalisis pendengar, mencari idea untuk komunikasi, mengatur mesej secara efektif, mengembangkan bukti bagi menyokong dakwaan dan menyampaikan ucapan yang boleh mempengaruhi pendengar (Wood, 2001). Beberapa abad selepas Plato dan Aristotle mengajar dalam forum-forum Athenian, retorik menjadi bidang utama dalam pendidikan liberal di Eropah dan Amerika Syarikat. Berdasarkan pandangan Aristotle mengenai retorik sebagai sastera praktik, guru-guru retorik menyediakan panduan pragmatik kepada para pelajar yang ingin menjadi pengucap yang efektif dalam konteks publik. Dalam abad ke-19, kebanyakan
universiti ternama di Amerika Syarikat mempunyai kerusi-kerusi retorik yang kebanyakannya dipegang oleh ilmuwan-ilmuwan tersohor dan pemimpin-pemimpin awam. Antara contoh diberikan oleh Foss, Foss and Trapp (1991) ialah John Quincy Adams yang merupakan bakal presiden yang pertama memegang kerusi retorik yang dinamakan ‘Boylston Professor of Rhetoric Chair’ di Harvard University (Wood, 2001).  Sekitar 1800-an dan awal 1900-an, retorik diajar sebagai sastera praktik yang menyediakan masyarakat ke arah partisipasi bertanggungjawab dalam kehidupan awam (Wood, 2001). Memandangkan penekanan yang
lebih diberikan kepada pengajaran pada ketika itu, tidak hairanlah mengapa organisasi profesional nasional di Amerika Syarikat yang pertama ditubuhkan pada 1914 dinamakan sebagai Persatuan Nasional Guru-Guru Pengucapan Awam. Pada peringkat awal ini, guru-guru yang mengajar pengucapan awam menekankan pengajaran mereka kepada persembahan lisan dan berada di bawah Jabatan Bahasa Inggeris. Namun setelah pengucapan awam mula mendapat perhatian, pada 1935 didapati lebih 200 universiti dan kolej di Amerika Syarikat menyenaraikan Jabatan Pengucapan secara berasingan daripada Jabatan Bahasa Inggeris (Saodah Wok et al., 2004).
Dari segi kursus yang ditawarkan di peringkat ini, kebanyakannya lebih memberikan panduan praktik dalam mempengaruhi penerima melalui hebahan awam, interpretasi lisan, drama, debat dan perbincangan meja bulat. Sementara guru-guru menggunakan tulisan zaman Greek dan Rome sebagai bahan rujukan. Plato, Aristotle, Cicero, dan Quantilian menjadi sumber bahan pengajian dalam hebahan awam ketika itu (Saodah Wok et al., 2004).
Kegiatan pada waktu itu pula bertumpu kepada kritik retorik, iaitu ucapan dilihat sebagai komunikasi kepada penerima yang khusus, dan fokus utama diberikan kepada analisis dan apresiasi kaedah yang digunakan oleh perucap untuk menyampaikan idea kepada para pendengar (Saodah Wok et al., 2004).

1.3.2 Era Komunikasi dan Sains Sosial (1930 – 1960)
Selepas dua perang dunia, para profesional dalam bidang komunikasi yang hanya memfokuskan kepada pengucapan awam sebelum ini mula berminat dengan isu-isu sosial. Ahli-ahli dalam disiplin ini merasa amat perlu untuk memahami hubungan antara komunikasi dan kebangkitan kuasa Hitler, perkembangan sikap prejudis terhadap kumpulan-kumpulan sosial, kesediaan untuk mengikuti pemimpin autoritarian, kesan-kesan propaganda, dan perubahan sikap dan Kepercayaan (Wood, 2001).
Perkembangan luas bidang ini menerangkan sebab Persatuan Nasional Guru-Guru Pengucapan Awam menukar namanya kepada Persatuan Pengucapan Amerika. Kemunculan kajian-kajian yang banyak bertumpu kepada isu-isu berkaitan dengan kesan media turut menjadikan era kedua ini lebih dikenali sebagai era kesan media. Griffin (1997) merujuk peringkat ini sebagai era kebangkitan empat orang sarjana yang digelar ‘Bapa Penyelidikan Komunikasi’. Menurut Schramm (1963), empat orang sarjana tersebut mengambil pendekatan sains perlakuan (behavioral science approach) untuk mengkaji kesan mesej  pembujukan terhadap audiens yang ramai dan mereka terdiri daripada Harold Lasswell, Kurt Lewin, Paul Lazarsfeld dan Karl Hovland (Saodah Wok et al., 2004).
Harold Lasswell merupakan ahli sains politik yang membuat analisis propaganda Nazi untuk mengenal pasti kesan kuat terhadap mereka yang mendengar. Beliau berpandangan bahawa untuk mendapatkan  pemahaman yang sepatutnya mengenai sistem komunikasi massa, beliau menekankan soalan ini dalam proses komunikasi iaitu: “Siapa Mengatakan Apa – Dalam Saluran Mana – Kepada Siapa – Dengan Kesan Apa?”.




Kurt Lewin pula merupakan ahli psikologi sosial yang yang tidak dapat menerima kepimpinan autoritarian. Beliau banyak mengkaji prejudis dan bagaimana kumpulan mempengaruhi individu lain dalam kumpulan. Konsep ‘gatekeeping’ untuk pemilihan berita kepada umum turut dibicarakan.
Paul Lazarsfeld yang menjalankan projek penyelidikan radio merupakan pakar sosiologi yang turut dianggap sebagai perintis kajian tinjauan dan teknik kumpulan sasaran (focus-group) yang digunakan bagi melihat impak penyiaran terhadap emosi. Beliau juga merupakan orang yang bertanggungjawab menubuhkan Biro  penyelidikan Sosial Gunaan (Bureau of Applied Social Research) di Universiti Columbia bagi mendapatkan bantuan kewangan daripada kerajaan dan sektor perniagaan.
Karl Hovland pula adalah ahli penyelidik psikologi yang menjurus kajian kepada perubahan sikap. Beliau menguji kesan pembujukan terhadap kredibiliti sumber dan juga susunan hujah dalam mesej. Selepas menjalankan kajian propaganda selepas Perang Dunia Kedua, beliau menubuhkan pusat penyelidikan yang besar di Yale University (Baran & Davis, 1995).
Apabila kebanyakan yang dianggap sebagai bapa penyelidikan komunikasi ini telah bersara, meninggal dunia atau meninggalkan bidang penyelidikan komunikasi, Bernard Berelson (1959), seorang yang bekerja rapat dengan Paul Lazarsfeld menyatakan pandangan beliau yang bidang penyelidikan komunikasi dilihat semakin malap (Baran & Davis, 1995).
Namun, Schramm yang melihat keadaan tersebut telah mengambil langkah awal dengan membentuk disiplin komunikasi bagi menyokong bidang sains sosial yang terdiri daripada psikologi, sosiologi, sains politik, ekonomi dan antropologi yang telah wujud ketika itu. Wilbur Schramm merupakan ilmuwan kesusasteraan Inggeris yang terlatih. Beliau mendapat pendidikan sarjana dari Harvard University dan Doktor Falsafah dalam bidang bahasa Inggeris dari University of Iowa, tetapi apabila beliau memulakan kerjaya beliau di Iowa sekitar 1930-an, beliau tidak dapat lari daripada menyertai bidang sains sosial kerana waktu itu
merupakan waktu kebangkitan sains sosial empirik (Baran & Davis, 1995). Justeru itu, Schramm bekerjasama dengan rakan-rakan yang lain daripada bidang pendidikan dan psikologi di samping membantu Jabatan Bahasa Inggeris menganjurkan Bengkel Penulis-Penulis Iowa. Schramm merupakan seorang yang telah banyak berjasa kepada perkembangan bidang komunikasi. Beliau bertanggungjawab menubuhkan program Ijazah Kedoktoran (PhD.) dalam bidang komunikasi massa yang pertama di University of Iowa (Saodah Wok et al., 2004). Beliau juga turut menubuhkan Institut Penyelidikan Komunikasi yang penting di Illinois, Stanford dan di East-West Center di Hawaii yang banyak membantu meningkatkan taraf pengajian komunikasi. Schramm seterusnya dianggap sebagai bapa komunikasi, iaitu pengasas bidang komunikasi yang tulen kerana asas pendidikan beliau adalah dalam bidang kewartawanan.
1.3.3 Era Revolusi (1950 – 1970)
Era ketiga dirujuk kepada teori dalam tabung uji yang menekankan kajian saintifik dan empirik yang memberi kesan kepada hampir semua bidang sains sosial dan kemanusiaan. Ia muncul pada pertengahan abad ke-20. Pembentukan Persatuan Komunikasi Antarabangsa (ICA) pada 1950menandakan satu kemajuan kajian saintifik dalam bidang komunikasi. Walaupun Persatuan Pengucapan Amerika memasuki bidang kemanusiaan, ICA bersekutu dengan tradisi saintifik. Tradisi ini telah menarik ramai pengkaji komunikasi mengutamakan bentuk kajian kuantitatif bagi mempelajari sesuatu isu itu dengan lebih jelas. Contoh isu-isu yang menarik kajian seperti faktor-faktor yang mempengaruhi kredibiliti seorang penceramah, kesan-kesan mengikuti model-model rasional pembuat keputusan, maklum balas ahli kumpulan kepada gaya kepimpinan yang berbeza dan kesan pelbagai jenis bukti terhadap pembujukan (Wood, 2001).
1.3.4 Era Pergolakan 60-an (1960 – 1970)
Tahun 1960-an dan 1970-an melihat motif baru dalam perkembangan komunikasi yang sering dirujuk sebagai asas pelancaran komunikasi interpersonal. Di Amerika Syarikat, ia merupakan satu masa perubahan besar sosial dan politik yang dikatakan tidak pernah berlaku sebelum ini. Pergerakan hak-hak asasi dan pergerakan wanita telah mengubah paten hubungan peribadi dan sosial. Dalam waktu yang sama, pertembungan budaya berlaku dengan mendadak dan membawa bersama idea-idea baru  mengenai bagaimana manusia perlu berinteraksi dan apa yang sebenarnya  penting di dalam kehidupan (Wood, 2001).

Bagi mencari penjelasan kepada isu-isu yang terkini, disiplin komunikasi  telah meluaskan minatnya untuk melibatkan komunikasi interpersonal. Walaupun pada peringkat permulaan kursus pengenalan komunikasi merupakan pengucapan awam, ia bertukar kepada komunikasi interpersonal di kebanyakan kolej dan universiti di sekitar tahun 1960-an dan 1970-an (Wood, 2001).

Kursus-kursus lain yang diperkenalkan dan turut mendapat sambutan baik daripada pelajar-pelajar adalah seperti kursus gelagat bukan lisan, komunikasi keluarga dan interaksi dalam hubungan intim. Penekanan interpersonal turut memberi kesan kepada kursus-kursus komunikasi
kumpulan yang menambah perhatian kepada latihan dan hubungan manusia terhadap kandungan tradisi berkenaan pembuat putusan rasional (Wood, 2001; Saodah Wok et al., 2004). Kedua-dua perspektif kemanusiaan dan saintifik berkenaan komunikasi terus membentuk penyelidikan dan pengajaran dalam era ini.

1.3.5 Era Retorik Baru (1965 – 1980)
Pada akhir 1970-an sehingga 1990-an, minat dalam isu-isu social membentuk kembali semua bidang komunikasi termasuklah retorik yang mula meluaskan kajiannya melewati kajian pengucap secara individu. Para ilmuwan retorik mula mengkaji pergerakan sosial seperti pergerakan kuasa orang kulit hitam dan pergerakan anti perang Vietnam. Mereka bukan hanya mengkaji pengucapan awam yang merupakan sebahagian daripada pergerakan tersebut, malah mereka turut menganalisis bagaimana taktik-taktik paksaan igunakan, bagaimana strategi simbolik untuk menerangkan isu-isu berjaya dilaksanakan, dan bagaimana pergerakan sosial mencabar dan merubah amalan dan nilai budaya yang telah diterima pakai umum (Wood, 2001).

Contohnya, Edwin Black (1965) yang mengutarakan cara baru menganalisis ucapan. Antara lain, kemunculan artikel-artikel seperti ‘The Rhetoric of Black Power’ oleh Burgess (1968) dan ‘The Rhetoric of Confrontation’, oleh Scott and Smith (1969). Mereka berpendapat ucapan awam tidak mempunyai kaitan dengan ucapan yang disediakan secara rapi ataupun hujah-hujah yang diterima akal. Seterusnya, para sarjana menerima hakikat hasutan sosial (social agitation) dan komunikasi bukan verbal memainkan peranan penting dalam penerimaan mesej (Saodah Wok et al., 2004).
Para pengkaji daripada bidang lain berkongsi minat mereka dalam perspektif kritikal yang memberi fokus kepada cara-cara, iaitu komunikasi membentuk dan dibentuk oleh konteks sejarah, sosial dan politik di mana ia berlaku. Oleh yang demikian, fakulti komunikasi interpersonal mengendalikan penyelidikan dan mengajar mengenai bagaimana teknologi baru memberi kesan kepada hubungan personal melalui pertemuan atas talian (online dating), bagaimana kejadian seperti ‘Million Man March’ dan  pergerakan seperti pergerakan feminis mempengaruhi komunikasi setiap individu wanita dan lelaki, dan bagaimana trend-trend nasional ekonomi seperti pengecilan saiz danpenggunaan sumber luaran memberi kesan kepada pekerja dalam konteks pekerjaan dan kehidupan personal mereka (Wood, 2001).

1.3.6 Era Pencarian Model Sejagat (1970 – 1980)
Menurut Saodah Wok et al. (2004) saintis komunikasi adalah berbeza dengan sarjana retorik kerana mereka cuba membuat penyatuan tetapi sarjana retorik cuba membuat kepelbagaian. Ia bukan sesuatu yang mudah kerana walaupun melepasi satu dekad penyelidikan empirik dijalankan, masih tiada hasil yang betul-betul boleh dibanggakan disebabkan kekurangan teori besar yang dapat digunakan bagi memfokuskan semua usaha penyelidikan dalam bidang komunikasi. Mereka seterusnya memandang para penyelidik komunikasi sebagai terasing kerana kajian bertumpu kepada pemboleh ubah yang terpisah tetapi penting dalam proses komunikasi. Mereka membawa bidang pidato sebagai contoh, iaitu penyelidik cuba melihat sebab berlaku kekhuatiran berucap. Kajian penyelidik kumpulan dinamik memberikan tumpuan untuk menguji ciri-ciri dan gaya kepimpinan tetapi penyelidik komunikasi massa memberi tumpuan kepada kesan keganasan program televisyen. Manakala penyelidik bidang pembujukan cuba mendapatkan jawapan kepada persoalan berkenaan faktor kredibiliti sumber. Dari sudut antara perseorangan pula melibatkan pendedahan kendiri, harga diri, komunikasi bukan lisan dan cara mengatasi konflik.

Berdasarkan pendapat Kuhn (1970) yang mengatakan sains yang matang perlu model atau paradigma yang sejagat, ahli sains sosial dalam bidang komunikasi dilihat belum mencapai tahap tersebut (Saodah Wok et al., 2004). Oleh kerana itulah kebanyakan buku yang dihasilkan di sekitar 1970-an berkisar tentang gambaran proses komunikasi disebabkan oleh usaha-usaha yang dilakukan oleh para penyelidik komunikasi bagi mencari satu model komunikasi yang boleh diterima umum sebagai menggambarkan proses komunikasi.

1.3.7 Era Pergolakan Bidang Komunikasi (1980 – Kini)
Istilah pergolakan yang digunakan oleh Griffin bagi era ini menggambarkan percubaan untuk melihat percampuran idea dan tenaga kreatif serta tekanan yang berlaku dalam bidang komunikasi semasa (Saodah Wok et al., 2004). Seiring dengan perkembangan pesat ekonomi dan politik dunia serta teknologi komunikasi maklumat pada era ini, bidang komunikasi juga turut berkembang daripada fokus kepada bidang interpersonal dan komunikasi massa kepada percambahan pelbagai bidang lain. Antaranya ialah bidang komunikasi organisasi, perhubungan awam, periklanan, komunikasi pembangunan, pengurusan konflik, kemahiran kepimpinan, komunikasi antarabudaya dan komunikasi pembujukan. Bidang ini terus ditawarkan di universiti-universiti berkaitan dan mendapat perhatian ramai pelajar disebabkan oleh keperluan semasa yang relevan dengan kehendak sektor-sektor pekerjaan dan arus globalisasi.
RUMUSAN
Daripada perbincangan kita dalam topik ini, dapatlah dikatakan bahawa perkembangan bidang komunikasi ini adalah seiring dengan kemajuan bidang teknologi, media dan komunikasi, serta perkembangan politik dan ekonomi sesebuah negara. Sebagai satu bidang sains sosial, kemajuan bidang komunikasi seperti yang dicapai sekarang turut disumbangkan oleh ahli-ahli bidang sains sosial yang lain. Selain itu, seperti yang dinyatakan oleh Saodah Wok et al. (2004), perkembangan bidang komunikasi di Malaysia amat dipengaruhi oleh kejadian di barat kerana pengasas bidang ini mendapat pendidikan dan latihan di barat, namun mereka menyesuaikannya dengan nilai dan budaya masyarakat timur.

BIBLIOGRAFI

i.            Abdul Rahman Abdul Aziz. (2000). Kemahiran sosial asas. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distribution Sdn. Bhd.
ii.            Adler, R.B., & Rodman, G. (1991). Understanding human communication. New York: The Dryden Press, Saunders College Publishing.
iii.            Adler, R.B., & Elmhorst, J.M. (2002). Communicating at work: Principles and practices for business and the professions. New York: McGrawHill.
iv.            Ahmat Adam. (1992). Sejarah dan bibliografi akhbar dan majalah Melayu abad kesembilan belas. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
v.            Bovee, C.L. et al. (1995). Advertising exellence. New York: McGraw Hill.
vi.            Burke, A. (1999). Communication and development: A practical guide. London: Department for International Development.
vii.            Carter, R. (1973). Communication as behavior. Kertas kerja di Annual Meeting of the Asociation for  Education in Journalism. Colorado. Christians, C., Fackler, M., & Rotzoll, K. (1987). Media ethics. New York: Longman.
viii.            Hashim Fauzi Yaacob. (2001). Komunikasi antara manusia. Skudai: Penerbit Universiti Teknologi Malaysia.
ix.            Haslina Abu Hassan, Hajar Nordin, & Wan Zah Wan Ali. (2000). Pendidikan jarak jauh melalui World Wide Web dan peranannya dalam membentuk masyarakat sejagat yang berilmu. Kertas kerja dibentangkan di Seminar Memasyarakatkan ICT, Serdang.
x.            Muhd Mansur Abdullah. (1998). Komunikasi dalam pengurusan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
xi.            Musa Abu Hassan. (2002). Peranan dan penggunaan ICT di kalangan masyarakat. Serdang: Penerbit Universiti Putra Malaysia.
xii.            Samsuddin, A. Rahim. (1993). Komunikasi asas. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
xiii.            Saodah Wok, Narimah Ismail, & Mohd Yusof Hussain. (2003). Teori-teori komunikasi. Bentong, Pahang: PTS Publications & Distributors Sdn Bhd.
xiv.            Zulkifli Yusof. (2000). Sukarkah komunikasi anda? Seni berhubung dengan orang lain. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributions.